About Me

My photo
Pulau Pinang
Me ~ Simple ~ Crazy (Kadang-kadang)~ Blur(haha) ~ pendengar yang baik... :) True friends are two people who are comfortable sharing silence together...

Pages

Wednesday, 2 October 2013

Akan tukar link blog

link blog lama

Thursday, 9 May 2013

Cerpen - Aku, Dia dan Bas




Lenguh kepalaku. Sejak dari tadi, aku asyik memandang ke kiri dan ke kanan tanpa henti dalam tempoh 10 minit, menanti batang hidung ‘dia’. Tapi tak muncul-muncul. Argh! Panas pulak hati aku ni. Aku kembali berjalan ke dalam bus stop yang sedang dalam proses nak runtuh dengan sendirinya. Dengan berhati-hati aku meletakkan tangan di atas kerusi kayu dan aku tekan dengan sekuat hati. Mana lah nak tahu kan, runtuh pulak kerusi ini. Setelah aku yakin bahawa kerusi ini masih kuat dan utuh… aku duduk. Bilalah diorang ni nak buat bus stop yang gorgeous sikit? Bebelku sendirian.
Nafas ditarik dengan sedalam-dalamnya. Tudung bawal yang sudah sedia senget makin senget jadinya apabila aku mula menggaru kepala. Jam dikerling. Mata mula membulat, “Ehhhh!” itu sahaja bunyi yang mampu keluar dari mulut aku. Aku bingkas bangun dan kembali menapak menghampiri bahu jalan. Tak datang lagi! Hish… aku bakar jugak bas ni.
Peluh yang merenek di dahi ku seka dengan lengan baju t-shirt. Dada berombak-ombak menahan marah. “Okey Amni, relaks… nama kau maksudnya ketenangan, so kau kena bertenang…” aku mengurut dada berkali-kali.
Telefon bimbit dikeluarkan dari poket. Tatkala membaca mesej yang baru diterima, mulutku mula terkumat kamit menyumpah seranah. “Ni semua pasal kau! Kalau kau datang ambik aku kat sini… tak lah aku tercongok macam batang pisang di bus stop ni!” aku membebel laju seiringan dengan tanganku yang ligat menaip mesej.
Pom!
“Oh bus stop runtuh…pom pom pom!” aku mula melatah. Terkejut yang teramat sangat. Mujur telefon bimbit aku tak terlepas dari tangan. Kereta BMW yang berhenti di hadapan bus stop direnung. Seorang lelaki keluar dari perut kereta, lengkap berkot… wajahnya, separa bengis! Sebab aku cakap begitu kerana… dia kacak… marah macam mana pun, kekacakannya tetap tak boleh nak disembunyikan, dan kekacakannya itulah menutup kebengisan wajahnya. Ewah…
Mataku memerhati gelagat lelaki itu… dia berdiri di sisi kereta di bahagian penumpang di sebelah pemandu. Tayar direnung. Oh! Pancit! Aku mula ketawa geli hati. Haa… gasak lah kau, pakai kot bagai, tengah-tengah panas terik ni… berpeluh la kau tukar mende alah tu. Kikiki…
Tiba-tiba dia menjeling kearahku! Terbantut ketawaku. Terkebil-kebil aku memandangnya. Isk… dia dengar ke aku ketawa tadi. Kuat sangat ke?
Aku menarik nafas lega apabila dia kembali merenung tayar keretanya. Dia kulihat kembali menapak ke tempat duduk pemandu.
Pang!
Tangannya menampar kuat bahagian atas kereta? Dia ni kenapa? Kena sawan sebab tayar kereta pancitkah?
Lima minit juga dia mengamuk kemudian dia datang menghampiriku dan duduk dengan jarak sedepa di sebelahku. Dengan tak semena-mena dia bersuara.
“Eh, ada duit syiling tak?” soalnya sambil memandang telefon awam yang berada berdekatan dengan kami.
Aku tersentak. Kepala menoleh memandangnya, ewah, dia eh eh kan aku? Amni, tenang… aku mengukir senyuman dan dengan perlahan-lahan aku menjawab, “Err… ada… kenapa ye?” wah! Sungguh sopan suaraku. Mujurlah suara tarzan tidak keluar.
Dia bangun dan duduk betul-betul di sebelahku. “Pinjam kejap…”
Aku mengeluarkan duit syiling lima puluh sen sebanyak dua keping lantas ku berikan kepadanya. Duit syiling kini bertukar tangan.
Tanpa mengucapkan terima kasih dia terus melangkah menghampiri telefon awam. Aku hanya memerhatikan gelagatnya. Dia sudah berada di hadapan telefon awam namun wajahnya seperti sedang menahan marah. Dia kembali menghampiri aku dan duit syiling dihulurkan. “Nah, telefon rosak… handphone ada?”
Aku mengangguk.
“Pinjam boleh?” soalnya senada. Aku mula naik menyampah dengan perangai lelaki ini. Nak pinjam barang orang tapi tak tau nak cakap elok-elok. Apa punya perangailah. Perangai tak seiring dengan penampilan.
“Boleh… tapi… kejap, nak check baki…” aku pantas menekan butang untuk menyemak baki. Semasa aku sedang menyemak baki, aku terdengar dia mendengus. Apahal la mamat ni… bebel aku di dalam hati. Mataku hanya merenung telefon bimbit yang berada di tangan. Isk! 0.05 sen? Aduh!
“Encik… baki kredit saya tinggal 0.05 sen je… nak buat SOS topap dah tak boleh sebab semalam baru aje saya buat…bukan saya kedekut encik, tapi memang takde rezeki encik harini…saya tak dapat tolong…” terang aku panjang lebar dengan lemah lembut dan sopan.
“Miskin betullah!” marahnya tiba-tiba.
Aku menyepetkan mata. Dia ni… apa hak dia nak cakap aku ni miskin? Nak dibandingkan aku dengan dia sekarang, dia lagi miskin, ‘miskin’ adab. Perangai buruk. Aku keluar suara tarzan karang!
“Eh, sesuka hati je cakap orang miskin!” Aku dah hilang sabar.
“Memang!” dia taknak mengalah. Aku mula nak singsing lengan baju. Rasa macam nak berperang.
“Apasal biadap sangat?”
“Suka hati akulah!”
Aku mengetap bibir. Baru saja aku nak berdebat, kelibat bas rapid aku pandang… huh! Kau patut bersyukur dan berterima kasih pada bas itu… nasib kau memang baik! Malas nak melayan, baik aku blah je dari sini. Aku berdiri dan menapak  di tebing jalan. Kini bas betul-betul berhenti dihadapanku.
Entah kenapa lelaki itu mengekoriku dan berdiri betul-betul di sebelahku. Aku hanya menjeling, malas nak  ambil tahu lagi. Aku terus mendaki tangga bas, memberitahu destinasiku kepada pemandu dan aku terus membayar. Tanpa membuang masa, aku duduk di kerusi yang berada di bahagian belakang. Seperti selalu, aku akan memilih untuk duduk di tepi tingkap. Pandangan kuhalakan ke luar tingkap. Lama juga bas ini berhenti.  Aku mula hairan dan kembali memandang ke hadapan. Beberapa orang di dalam bas mula mengomel sendirian. Entah kenapa aku bangun dan berjalan mendekati lelaki itu.
“Kenapa ni pakcik?” soal aku lembut.
“Dia takde duit kecik… seratus ha dia ada… nak ke stesen bas Butterworth, 2 ringgit je…” terang pemandu bas itu.
Tanpa membuang masa aku yang sudah sedia terbuang ni… aku menyeluk poket lantas dua keping duit seringgit aku berikan kepada pakcik itu. Tanpa memandang wajah lelaki di sebelah aku, aku kembali duduk.
Earphone aku letakkan di telinga dan aku lantas kepala aku lentokkan di tingkap. Lagu Kita nyanyian Fourteen menjadi pilihan. Mata aku pejam, menghayati lirik.

Manakah kita jika kau dan aku tidak sekata
Sepi walaupun bila bersama
Dekatkan pun tetapi berjauh hati

Manakah kita bila sering bertentangan
sahaja walaupun bibir cuba menyepi
Hakikat percaya tanya dengan jujur
Manakah kita



Terasa bahuku dicuit.
“Ada kaboi (kumbang) masuk dalam baju!” jerit aku dengan sekuat hati! MasyaAllah! Kuatnya aku menjerit. Aku menekup mulut dan memandang hadapan, semua orang sedang merenung aku sambil tersengih dan ketawa. Memang aku tak dengar ketawa mereka kerana aku sedang memakai earphone, tetapi dari mimik wajah, aku dah tahu! Aku kemudiannya menoleh ke kiri, untuk mencari siapa yang mencuitku.  Membulat mataku apabila lelaki tadi duduk di sisiku dan tersenyum manis ke arahku. Senyumannya membuatku terkaku. Mak aih… manis lemak berkrim! Tapi kenapa dia senyum pada aku? Tadi bukan main kurang ajar lagi…
Dia berkata sesuatu namun aku tidak dapat mendengar kata-katanya. Earphone segera ditanggalkan. Aku garu kepala. Dia masih dengan senyumannya. Aduh… dah bersimenkah senyuman itu? Adakah dia mengejek aku? Malunya!
Sorry tak dengar tadi… encik cakap apa ye?” soalku sambil merenung rambutnya. Nak tenung mata tak berani, nak tenung baju nanti dia kata aku gila pulak. Tenung rambutnya yang cacak ajelah.
“Terima kasih…” ujar lagi itu lantas dia tertawa halus.
“Kenapa awak gelak?” aku mula nak panas hati. Dia gelak sebab aku melatah tadi ke? Arghh! Mencikk!
“Mata awak… bulat sangat. Lepas tu, tenung rambut saya kenapa?” soal lelaki itu sambil memeluk tubuh lalu menyandarkan badannya.
“Yelah tu… gelak sebab saya melatah kan?” soalan tentang rambut aku abaikan.
Makin kuat ketawa yang dihamburkan olehnya. Aku yakin, wajahku sekarang sudah merah menahan marah dan malu.
“Taklah… by the way… nama saya Khalish… awak?”
“Amni…” jawabku sepatah. Dia masih merenung aku. Lahai… kenapa dengan dia? Wajah aku comot ke? Huhu…
“Saya nak mintak maaf pasal tadi. Saya kata awak… mis… miskin…” tutur Khalish tersekat sekat.
Hatiku mula sejuk apabila dia meminta maaf.
“Tadi kenapa awak macam stress sangat?” soalku ingin tahu.
“Saya on the way ke ofis, ada meeting penting. Tayar kereta pancit pulak… saya dah matikan enjin kereta, tapi saya tertinggal kunci di dalam. Bila saya keluar untuk lihat tayar, kereta autolock. Handphone dan dompet saya ada dalam kereta. Mujur di dalam kot saya ada seratus ringgit…tapi…tak guna pun duit ni. Terima kasih sebab bayarkan untuk saya…”
Aku tersenyum nipis. “Sama-sama. Haa, tu la… jangan sesuka hati cakap orang miskin… kadang-kadang keadaan memaksa, dan menyebabkan kita kelihatan ‘miskin’. Konsep ‘miskin’ yang saya cakap bukan dari segi harta saja… saya nak kasi contoh tapi awak jangan marah pulak… ye?”
Dia mengangguk.
“Tadi awak miskin tau dan saya pun miskin,.. keadaan memaksa kita.” Dia mengangkat kening. Tidak mengerti maksudku.
“Kita  ‘miskin’ kesabaran, tapi awak tambah lagi satu, ‘miskin’ adab… dan tahap kesabaran yang taklah setinggi mana itulah yang menyebabkan masing mengeluarkan suara tarzan…” jawapan aku mengundang ketawa Khalish.
“Betul, saya tak beradab dan kurang kesabaran tadi. Saya mintak tolong awak dengan bahasa yang kasar. Saya mintak maaf dan awak pun mengaku jugak ye yang awak kurang sabar…” ujarnya dengan tawa yang masih bersisa.
“Yup, saya mengaku… kita kurang sabar tadi. Awak dengan masalah awak dan saya tadi dah panas hati sebab bas datang lambat, sepatutnya kawan saya datang ambik, tapi dia ada hal… geram sungguh tadi… tu tandanya saya ‘miskin’ kesabaran…” Aku tersengih. “dan semua dalam bas ni… awak rasa ‘kaya’ ke ‘miskin’?” Khalish menggeleng kepalanya.
“Kaya…” jawapan aku menimbulkan riak tanda tanya di wajah Khalish. “Awak tengok pakcik yang memandu bas ni...” ujarku seraya menghalakan jari telunjuk ke arah pemandu bas. Khalish memandang arah yang ditunjuk oleh aku. “Dia ‘kaya’ dengan kesabaran, buktinya saya selalu  naik bas dan kebanyakkan dia yang memandu. Dia… pernah kena marah dengan penumpang, sebab memandu perlahan. Tapi saya tengok dia senyum dan mintak maaf pada penumpang tu… dia cakap, dia mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain… penumpang itu mendengus marah. Terus tekan loceng nak turun bas…”
Khalish tekun mendengar cerita aku. Aku tersenyum lagi. “Dan awak tengok pakcik yang sedang menyuap anaknya makan roti tu… apa yang awak nampak bila tengok mereka?” aku menjuihkan bibir ke arah seorang lelaki dan anaknya yang berpakaian lusuh.
“Mereka ‘kaya’ kasih sayang… tak segan menunjukkan kasih sayang di khalayak ramai…” jawapan Khalish diiringi dengan anggukan dari aku.
“Betul… dan awak tengok makcik tu…” aku menghalakan jariku ke kanan pula. Kelihatan seorang makcik sedang duduk kaku di atas kerusi, matanya hanya membuang pandang ke luar tingkap. “Awak dapat agak tak dia ‘kaya’ ke ‘miskin’? Saya tak dapat nak agak…” sambungku lagi.
Khalish tekun merenung makcik itu… beberapa tika kemudian dia tersenyum, “Kaya…” jawabnya sepatah.
“Sebab?” soalku hairan.
“Awak tunggu dan lihat…”
Beberapa tika kemudian makcik itu bangun untuk menekan loceng, Beg plastik yang berada disisinya dibimbit. Mak aihh! Banyaknya.
“Dia ‘kaya’ dengan sayur-sayuran… mungkin baru balik dari pasar…” kata-kata Khalish menyebabkan tawa aku meledak.
Beberapa orang yang duduk berdekatan kami memandang hairan. Serta-merta tawa kami mati.
“Kenapa awak naik bas ni? Awak tak takut ke tinggal kereta awak macam tu je? Orang pecahkan cermin kereta macam mana?” soal aku  bertalu-talu setelah lama kami mendiamkan diri.
“In Shaa Allah, tak… saya bertawakal saja. Lagipun, cermin kereta saya gelap, dompet dan telefon bimbit ada di dalam dashboard.. Nak pergi meeting pun memang tak sempat dah. Saya naik bas ni… sebab ikut awak. Sejujurnya ini pertama kali saya naik bas…”
“Oh! Awak ikut saya sebab awak tak tahu ye?” aku mengukir senyuman mengusik.
Khalish menggaru kepalanya lantas mengangguk.
“Lain kali awak kena belajar tau naik bas… bukan bas aje, semua pengangkutan awam awak kena belajar dan biasakan diri. Kalau keadaan darurat macam sekarang, itu boleh membantu. Orang kaya harta macam awak… jangan ambik ringan pasal ni. Tapi saya pasti… bukan awak sorang saja orang kaya yang tak tahu naik bas dan pengangkutan awam yang lain… kan?”
Khalish tersengih. Aku? Aku rasa nak pengsan melihat sengihannya. Kalau aku sengih, sure nampak macam orang utan tapi dia… grrr… handsome, sengihannya mampu buat jantung aku berdetak tak sekata. Adeyy… jangan cakap kau suka dia Amni… isk.
Lama kami berborak sehinggalah tiba di destinasi yang ingin aku tuju. Aku dan semua penumpang lain turun dari bas. “Okey dah sampai… saya kena naik bas lagi satu… baru dapat ke Jusco… awak nak ke mana?”
Dia merenung jam tangannya. Satu keluhan kecil dilepaskan. Dia merenung lembut wajahku. “Saya… tak tahu.”
Riak wajah hairan aku tayangkan. “Ait? Kenapa pulak?”
“Ofis saya dah terlepas…”
“Haa! Lah… tadi kenapa awak tak turun di situ?”
“Entahlah saya tak tahu…” matanya redup memandang aku. Kenapa ni?
Aku garu kepala. Kemudian aku terpandang kelibat bas rapid bernombor 702 di sudut kanan aku. Aku sudah kelam kabut. Bas tolong jangan tinggalkan aku! Dengan pantas aku menyeluk poket dan beberapa keping duit syiling dan sekeping wang kertas sepuluh ringgit aku berikan kepadanya. “Nah, awak ambik ni, awak call siapa-siapa… kat sini banyak telefon awam… saya kena pergi. Bas tu dah nak bergerak…” ujarku sambil memandang wajah Khalish dan bas silih berganti.
“Er…” belum sempai dia menghabiskan ayatnya aku sudah melangkah pergi. “Saya pergi dulu!” jeritku sambil melambai ke arahnya. Lambaian dibalas. Tanpa membuang masa aku terus memboloskan diri masuk ke dalam bas. Dari tingkap aku cuba mencari kelibat Khalish namun dia hilang. Entah kenapa hatiku berasa sayu.


Seminggu berlalu…
Tangga bas didaki. Selesai membayar tambang bas, mata ku meliar suasana di dalam bas. Penuh! Alamatnya akulah orang pertama yang kena berdiri. Tu ada satu tempat kosong, tapi… di sebelah seorang lelaki yang memakai cap… seganlah!  Huhu. Padan muka kau Amni, gedik sangat nak naik bas sedangkan kau tahu ini hari Ahad, lain kali… tumpang kawan aje kan senang? Bebelku sendiri di dalam hati.
 Aku berjalan dengan berhati-hati dan tiba-tiba bas berjalan. Hampir sahaja aku tersungkur. Lelaki tadi membantu aku.
Miss are you okay?”
Aku yang sedang menunduk membetulkan baju memanggungkan kepala. Mataku membulat!
“Khalish…” sebutku perlahan. Dia tersenyum! Aku rindu betul dengan senyumannya. Wargh! Ada jodoh ni… hehe
“Duduklah…” ujarnya seraya memberi laluan kepada aku agak mengambil tempat di sisi tingkap.
Setelah duduk, aku buat riak muka teruja. “Awak naik bas…”  ujarku bersama senyuman.
“Iye… dah seminggu. Saya cari awak.” jawapannya membuatkan senyumanku bertukar hairan.
“Kenapa?”
“Saya teringatkan awak. Hari tu tak sempat saya nak mintak nombor telefon bimbit, awak dah pergi. Balik rumah tak tidur lena saya dibuatnya… saya cari awak dekat bus stop tapi, awak takde, 3 hari saya tunggu awak. Lepas tu saya mula nak putus asa, tapi bila teringatkan pesan awak suruh saya belajar naik pengangkutan awam, jadi saya naik bas. Sendiri, dan harini kesabaran saya membuahkan hasil. Awak dah muncul… dan saya pun dah terer (pandai) naik bas sendiri.” Mukaku mula merah menahan malu. “Awak ke mana seminggu ni?” sambungnya lagi apabila aku hanya mendiamkan diri.
“Saya ke rumah kakak saya, di Kedah… saya mintak ma… maaf…” balasku tersekat-sekat. Tak mampu nak bertutur dengan lancar apabila direnung sebegitu.
“Takpe, yang penting saya dah jumpa awak dan saya pasti takkan lepaskan awak kali ni…” terkebil-kebil aku memandang bibirnya yang tersenyum manis. Argh! Gua mahu pengsan!
Lama aku mendiamkan diri, menghadam kata-katanya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum aku kembali mula berbicara. “Saya nak tanya patut ke saya senyum atau malu bila dengar awak cakap macam tu?”
Dia menjongketkan bahunya tanda tidak tahu. Sebelah mata dikenyitkan ke arahku.
Aku garu kepala lalu bukan senyuman yang aku tonjolkan tetapi aku buat muka malu-malu dan hujung beg sandang aku pintal sehingga kebas habis tangan aku!
Inilah kisah aku, dia dan bas. Ohoii.. kalau dah jodoh tak kemana, dalam bas pun aku dapat bertemu dengan jodohku. Disini kami berkenalan, dan disini hati masing-masing mula dijentik dengan rasa cinta…  dan beberapa bulan selepas itu,  kami… kahwinlah!
Alhamdulillah.
-TAMAT-

Tuesday, 19 February 2013

Betul! Suami Aku Pelakon - Bab 4



Irfan menghantar kelibat kereta Hyundai Tucson yang dipandu oleh Izz dengan pandangan mata.  Letih tak habis lagi kerana memandu tadi. Izz pulak sedap-sedap tidur. Kalau tak buli aku tak sah! Dia segera melangkah menuju ke pintu besar rumah banglo 4 tingkat milik keluarga Datuk Arman, seorang peguam terkenal di Malaysia dan mempunyai sebuah firma guaman sendiri iaitu Muhd Arman & Co.
Irfan menapak lemah mendaki tangga. Kini, hanya katil empuk bersaiz king bermain di kotak fikirannya. Badannya lenguh, seharian berada di dalam kereta. Kedah ke Kuala Lumpur, jauh tu! Dah naik kematu punggungnya.
“Irfan…” panggil satu suara dari arah belakang.
Irfan berpaling lantas merenung wajah Datuk Arman yang sedang duduk bersilang kaki di atas sofa antik berhadapan dengan TV. Wajah papanya kelihatan tegang sekali. Irfan mengerutkan dahinya. Aku ada buat salah lagi ke?
“Irfan, mari sini… papa nak cakap dengan kamu sikit…” panggil Datuk Arman tegas. Pandangan tajam dipersembahkan kepada Irfan. Irfan mengeluh. Ni mesti ada kes berat ni, kalau tidak, papa takkan marah sampai macam ni. Dengan segera dia menghampiri papanya.
“Iye pa…” balas Irfan seraya menghenyakkan punggungnya di atas sofa bertentangan dengan papanya.
“Mana kamu pergi?” soal Datuk Arman tegas mencantas percakapan anaknya.
“Irfan pergi tempat shooting… lepas tu sesat. Terkandas dekat Kedah…” jawab Irfan perlahan.
Datuk Arman mendengus kuat.
“Tu… baca!” arah Datuk Arman. Pandanganya dihalakan kepada objek yang berada di atas meja kopi  yang berukiran cantik di hadapan mereka berdua.
Irfan mengambil surat khabar dan diselak helaiannya satu persatu. Apabila tiba di ruangan artis, matanya membulat tatkala memandang gosip yang tertulis di dalam akhbar. Tiba-tiba tekaknya bagaikan tercekik. Masalah besar ni… apa aku nak jawab? Aduh, macam mana boleh wujud pulak cerita yang macam ni?
Surat khabar dilipat perlahan dan diletakkan kembali di atas meja kopi. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum Irfan memandang sepasang mata di hadapannya yang sedang merenungnya tajam.  Tiada langsung walaupun segaris senyuman terukir pada wajah Datuk Arman. Nampaknya marah betul papa aku ni.
“Papa…”
“Papa suruh kamu kerja dengan papa, kamu tak nak. Sibuk nak jadi pelakon. Apa guna kamu belajar tinggi-tinggi? Kamu tu dah layak untuk jadi peguam… tapi kenapa kamu pilih untuk malukan papa? Dulu, papa tak kisah kalau kamu nak jadi pelakon, tapi sekarang… papa nak campur tangan. Before this, kamu digosipkan bercinta dengan penyanyi tu, sekarang kamu digosipkan dengan pelakon wanita mana pulak? Elisa? Pelakon baru tu kan?” lantang suara Datuk Arman memarahi anaknya.
Irfan mengeluh. Rambut diraup ke belakang. Macam mana boleh keluar gosip aku dengan Elisa ni? Siapa buat cerita pulak ni! Argh! Kusut betullah.
“Pa, ni semua gosip ajelah… tak betul… Irfan tak bercinta dengan siapa-siapa pun…” balas Irfan seraya memeluk tubuhnya.
“Itu papa tak mahu ambik tahu, tapi… gosip macam ni… memalukan papa. Semua orang tahu kamu tu anak papa… macam manalah kamu nak jadi contoh untuk adik kamu kalau asyik keluar gosip yang macam ni…” tengking Datuk Arman kuat.
Irfan sudah duduk tersandar. Susahlah macam ni. Kenapa papa tak faham langsung akan minatnya terhadap bidang lakonan. Hmmm…
Datin Dahlia yang baru muncul dari dapur segera menenangkan suaminya. Bahu Datuk Arman diurut lembut. Wajah anaknya terunanya dipandang kasihan…
“Bang, budak tu baru balik… biarlah dia rehat dulu…” Datin Dahlia cuba untuk meleraikan keadaan yang tegang itu.
“Papa dah buat keputusan… kalau kamu nak terus untuk menjadi pelakon, okey… papa akan bagi satu lagi peluang...” Datuk Arman merendahkan suaranya. Datin Dahlia tersenyum nipis kerana pujukannya berjaya.
“Terima kasih pa kerana bagi satu lagi peluang untuk Irfan…” ucap Irfan lembut seraya mengukir senyuman nipis.
“Tapi…” Datuk Arman berdiri, “Papa nak kamu berkahwin dengan gadis pilihan papa… kalau kamu tak nak, kamu harus kerja dengan papa dan berhenti menjadi pelakon!” Datuk Arman melangkah pergi meninggalkan Irfan dan Datin Dahlia.
Irfan ternganga tatkala mendengar syarat yang diletakkan papanya. Air liur ditelan berat. Apa aku nak buat ni?!
Datin Dahlia mengeluh. Abang ni pun, sabar lah… budak ni kena pujuk tau… bukan macam ni caranya kalau nak suruh dia kahwin. Datin Dahlia bangun lantas melabuhkan punggung bersebelahan dengan Irfan.
“Irfan…” panggil Datin Dahlia lembut.
“Iye ma…”
“Irfan sayang… dengar ajelah cakap papa tu…” pujuk Datin Dahlia seraya menggenggam lembut tangan anaknya dengan menggunakan tangan kanan dan tangan kirinya mengusap belakang Irfan. Bibirnya mengukir senyuman nipis.
“Kahwin? Tak naklah ma… Irfan muda lagi. Baru umur 26 tahun. Takkanlah nak kahwin sekarang? Irfan takut Irfan tak mampu nak jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Irfan tak bersedia lagi. Jadi, walau apa pun yang terjadi, Irfan tak nak kahwin dan takkan kahwin!” bantah Irfan. Dia meleraikan genggaman dan segera bangun lantas melangkah menuju ke bilik tidurnya.
Datin Dahlia memegang kepalanya. Ish, boleh kena migrain bila fikirkan tentang dua beranak ni. Keluh hati Datin Dahlia.
Hampir 5 minit Datin Dahlia berfikir, dan akhirnya dia mendapat satu rancangan. Dia yakin rancangannya pasti akan berjaya. Segaris senyuman manis terukir di bibirnya.
Datin Dahlia bangun seraya melangkah keluar untuk mencari kelibat suaminya. Langkahnya terkunci apabila melihat Datuk Arman sedang beristirehat di gazebo bersebelahan dengan swimming pool.
“Abang…” panggil Datin Dahlia lembut.
“Mana budak bertuah tu?” 
Datin Dahlia duduk di atas kerusi bersebelahan suaminya. Tangan Datuk Arman digenggam lembut.
“Abang dah tak tau nak buat apa dengan budak tu… degil. Langsung tak nak dengar cakap abang… terkilan abang dibuatnya… apa dia dapat bila dia jadi pelakon? Gosip adalah, dan semua tu memalukan abang!” luah hati Datuk Arman.
“Abang… saya ada rancangan macam mana nak kahwinkan budak tu…” Datin Dahlia mengangkat kening. Senyuman manis terhias pada wajahnya.
Datuk Arman memandang isterinya dengan pandangan teruja.
“Apa dia?” soal Datuk Arman ingin tahu.
“Sebelum tu, Lia nak tanya, abang dah ada calon ke untuk anak teruna kita tu?” soal Datin Dahlia lembut.
“Ada… calon yang paling sesuai. Dia memang layak untuk anak kita… abang akan tanya kawan abang,” jawab Datuk Arman yakin.
“Baguslah, Lia tak kisah… janji menantu kita sopan… baik dan mampu menjaga anak kita. Kalau cantik, itu bonus…”
“Budak tu memang cantik, dan sudah semestinya sopan sebab dia anak imam. Kawan abang tu seorang imam… biar anak kawan abang tu basuh sikit otak anak kita, asyik-asyik keluar gosip pasal dia je,” bebel Datuk Arman.
“Yeke? Syukur Alhamdulillah… abang, Lia yakin, rancangan Lia… pasti berhasil… dan, anak kita akan berkahwin dengan secepat mungkin… abang dah tanya ke kawan abang tu? Dia setuju tak?”
Datuk Arman mengangguk seraya mengukir senyuman manis.
Senyuman Datin Dahlia makin melebar. Tak sabar rasanya mahu melihat Irfan Danish berkahwin.


Irfan yang sedang berdiri di balkoni sedari tadi memandang mama dan papanya dengan pandangan pelik. Tadi papa bukan main lagi marah-marah aku… tapi sekarang boleh pulak dia senyum. Mesti ada something yang mereka rancang ni. Aduh… tiba-tiba aku rasa tak sedap hatilah. Ngomel Irfan seorang diri.
Dia melangkah menghampiri katil lalu badannya dihempaskan ke atas tilam empuknya. Tangan kanan memicit kepalanya. Baru balik je dah macam-macam hal. Ish! Kalau aku tak balik tadi kan bagus. Lepak di mana-mana dulu.
Kelopak matanya mula terasa berat. Disaat matanya terpejam rapat, wajah gadis itu muncul di dalam kotak fikirannya. Matanya segera membulat. Irfan bingkas bangun dari baringnya.
“Argh! Apasal muka perempuan tu jugak yang aku ingat?” bantal kecil dibaling kasar. Irfan duduk bersila di atas katil sambil menongkat kepalanya dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.
Kenapa dengan aku ni? Tak pernah aku jadi macam ni. Kenapa wajah dia muncul dalam kepala aku? Ish, karut betul lah… 

Friday, 25 January 2013

Oh No! Pending Mss...

Assalamualaikum...

Dugaan yang menimpa saya, sikit pun tak patahkan semangat saya untuk menulis. Alhamdulillah... Sengaja saya letak picture ini di dalam handphone, nak bagi ada semangat untuk menulis! Ekekeke...



dua hero dan dua mss yang berbeza... muehehehe... hopefully berjaya siapkan walaupun lambaaaattt sikit....

p/s : maaf sebab tak boleh letak nama penuh... hehe... saja nak kasi dup dap dup dap sikit.... ekekeke

Monday, 14 January 2013

Betul! Suami Aku Pelakon - Bab 3



Irfan dan Izz kini melalui Lebuh Raya Utara Selatan dan baru sahaja melepas Bukit Merah. Izz memandu hanya ditemani dengan DJ Radio dan lagu-lagu terbaru yang berkumandang di radio. Irfan pula baik punya lentok. Kerja tidur aje mamat ni… desis hati Izz.
Channel radio ditukar. Haa, lagu ni baru awesome! Volume dikuatkan. Sudah ber degum-degum suasana di dalam kereta itu memutarkan lagu Moves Like Jagger.
Irfan membuka kelopak matanya perlahan. Bisingnya! Dia menoleh kepalanya ke kanan. Izz sedang terkumat-kamit mulutnya bernyanyi seiringan dengan Adam Levine. Irfan mencebik. Perasan kau tengah berduet dengan dia ke? Gumam Irfan. Kalau kau berduet dengan dia, maknanya kau ni Christina Aguilera lah! Irfan tersenyum sendiri.
“Bangun pun…yang kau senyum ni apahal? Kena sampuk dengan hantu? Ish! Borak lah dengan aku! Nanti aku tertidur kang… padan muka kita berdua. Memang padam terus lah lepas tu…” marah Izz.
“Aku letih lah…” Irfan jawab lemah.
“Kau sorang je ke yang letih? Habis aku? Bateri aku pun kena cas jugak, dah lemah sangat ni… kejap lagi sampai dekat perhentian lepas ni, kau drive… biar aku pulak yang rest…” Izz telah mengeluarkan kata putus.
“Yelah, aku drive kejap lagi…” jawab Irfan malas. Keluhan kecil dilepaskan. Letihnya! Aku nak tidur puas-puas lepas sampai di rumah nanti.
Lama mereka berdiam diri.
“Kau minat dekat anak Haji Mahfuz ke?” soal Izz tiba-tiba. Bibirnya mengukir senyuman mengusik.
“Huh! Perempuan tu biadap kut… tak ada masa aku nak minat dengan perempuan macam tu. Not my taste!” soalan Izz membuatkan kemarahan Irfan terhadap gadis itu datang menerpa. Geram aku bila dia main-main dengan aku. Boleh pulak takutkan aku…
“Biadap? Wei, kau ni buta ke apa? Sopan macam tu pun kau kata biadap? Cantik macam tu pun kat cakap not my taste? Sahlah kau ni buta.” Izz mengerutkan dahi. Hairan apabila mendengar jawapan Irfan.
“Depan kau memanglah dia sopan, tapi kalau depan aku dia tu dah macam singa… singa zoo yang dalam kandang tu. Singa paling ganas…yang spesisnya asal dari Afrika tuh…” jawab Irfan sarkastik.
“Tapi dia cun kut…” puji Izz sambil mengangkat keningnya berkali-kali.
“Memanglah dia cun…” Irfan menghentikan ayatnya. Kenapa aku macam puji je singa tu? Ish!
Izz tergelak kuat. Mengaku pun…
“Kau jangan nak kutuk dia sangat… nanti berjodoh dengan dia… hambik! Baru kau tahu KLCC tu tinggi ke rendah…”
Irfan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Malas nak bertekak. Dia memejamkan matanya. Namun wajah gadis itu asyik bermain cak cak pulak. Argh! Apasal aku asyik teringat wajah singa tu? Kenapa dengan aku ni?


Aliya diam menikus. Kepalanya ditundukkan. Sungguh, dia tidak berani untuk menatap wajah Haji Mahfuz pada saat ini.  Wajah yang penuh dengan ketegasan.
“Aliya Marissa…” panggil Haji Mahfuz tegas.
“Ye…ye walid…” dup dap dup dap… apasal jantung aku tiba-tiba pam darah laju pulak ni? Gumam hati Aliya.
“Walid tak pernah ajar anak walid untuk biadap dengan tetamu. Kenapa tadi kamu tak jaga adab?” soal Haji Mahfuz, masih mengekalkan nada ketegasan.
Aliya menggigit bibir. Walid, dia yang biadap dulu…dah lah dia kutuk rumah kita… hmmm…
Setelah menelan air liurnya bertan-tan, barulah dia berani menatap wajah Haji Mahfuz.
“Aliya, kita sebagai umat Islam dituntut memberikan layanan yang terbaik kepada tetamu sama ada tetamu diundang itu ataupun tak. Walaupun penat, kita harus menunjukkan muka yang manis… faham?”
“Faham walid…”
“Dan, kamu tak jaga mata kamu…” tegur Haji Mahfuz lagi.
Glurp! Walid perasan ke aku pandang lelaki tu? 
Haji Mahfuz bangun. Kopiah diperbetulkan.
“Walid tak nak perkara ini berulang lagi… kamu kena ingat, sekiranya ada tetamu datang ke rumah, rezeki akan dimurahkan oleh Allah S.W.T. Walid betul-betul kecewa dengan sikap Aliya …” ujar Haji Mahfuz seraya melangkah pergi dari ruang tamu.
Aliya mengeluh. Tudung bawal berwarna ungu muda diperbetulkan. Kelopak matanya mula berkaca-kaca. Sedih…  Aliya mintak maaf sebab malukan walid. Aliya janji, kalau Aliya jumpa dengan pemuda itu lagi, Aliya akan mintak maaf dengan dia. Bisik hati Aliya, air mata yang mengalir diseka lembut.