About Me

My photo
Pulau Pinang
Me ~ Simple ~ Crazy (Kadang-kadang)~ Blur(haha) ~ pendengar yang baik... :) True friends are two people who are comfortable sharing silence together...

Pages

Monday 17 December 2012

Betul! Suami Aku Pelakon - Bab 2


Bab 2
Matahari sudah mula meninggi. Irfan masih belum sedar dari pengsannya. Izz dan Haji Mahfuz pula masih berada di hadapan rumah bersama seorang mekanik yang telah dicari oleh Haji Mahfuz pada pagi tadi. Aliya pula terjengok-jengok di sebalik pintu memerhati susuk tubuh yang sedang terbaring di atas katil di bilik tetamu rumah kayu itu. Dulang di tangan dipegang kejap.
“Nak masuk ke tidak? Hmmm… masuk je lah…” Aliya terus melangkah masuk dan membuka pintu bilik seluas mungkin. Dulang yang berisi semangkuk bubur dan segelas air masak diletakkan di atas meja kayu di tepi katil. Aliya membongkokkan badannya, wajah pemuda di hadapannya direnung tanpa berkelip. Betullah, wajah mamat ni, aku kenal! Macam muka pelakon tu je? Tapi takkanlah! Mungkin peladuk dua serupa.
Beberapa minit kemudian, Aliya seperti tersedar sesuatu. Ish! Jaga mata… Aliya berdiri seraya membetulkan tudung bawal berwarna kelabu yang berwarna sedondon dengan baju kurungnya.
 Nafas dihembus kuat. Lantak kau lah, nanti kau bangun pandai-pandai la makan makanan tu. Aliya mula melangkah keluar dari bilik itu. Langkahnya terhenti apabila mendengar pemuda itu menggumam sesuatu. Dia berundur sedikit ke belakang. Cuba mendengar apa yang dikatakan pemuda itu.
“Jangan kacau aku… jangan ikut aku… jangan…” Irfan menggeleng kepalanya ke kiri dan ke kanan berkali. Peluh mula merenek di dahinya.
Aliya mengerutkan dahinya. Apa yang kau merepek ni?
“Argh!” Irfan bingkas bangun dari pembaringan.
Bahu Aliya terinjut akibat terkejut dengan jeritan lelaki itu.
Mata Irfan meliar memandang sekeliling. Setiap sudut bilik itu di tatap dengan pandangan yang jelek. Dia memandang selimut lusuh yang sedang membaluti separuh badannya. Pandangannya terhenti apabila melihat susuk tubuh gadis yang sedang berdiri tegak di sebelahnya.
“Rumah kau?” soal Irfan bernada serius.
Aliya mengangguk perlahan.
“Buruknya rumah ni!”
Aliya mengetap bibir! Eiii… biadapnya! Dia kutuk rumah aku buruk? Dah orang tolong tu, bersyukur je lah!
“Kau ni siapa ha?” soal Irfan kuat.
“Orang…” jawab Aliya seraya memeluk tubuhnya. Menyampah! Harap muka ja handsome, perangai macam ‘nates’!
“Memanglah orang, takkan monyet pakai tudung pulak!” sindir Irfan sambil menjeling tajam.
“Agak kasar bahasa kau ni! Aku dah tolong kau, tak reti ucap terima kasih ke hah? Buruk punya perangai…” bidas Aliya pula. Aku bubuh jugak racun tikus dalam makanan mamat ni! Baru padan dengan muka!
Macam aku kenal je suara ni. Mata Irfan terbuka luas. Bibirnya diketap.
“Kau kan semalam?” Irfan membulatkan matanya.
“Ha! Aku… apasal? Kau ingat kau sorang aje pandai buat mata bulat? Aku pun boleh lah!” Aliya bercekak pinggang sambil membersarkan matanya.
“Wei, pasal kau lah aku jadi macam ni!” bentak Irfan. Mati-mati aku ingat ‘makhluk’ tu semalam.
“Apahal pulak aku? Kau tu yang penakut. Lari macam lipas kudung… nama ja jantan tapi hati berbunga-bunga, menjerit mengalahkan perempuan. Dasar jantan lembut! Biadap pulak tu!” bidas Aliya lagi. Tembok kesabarannya sudah mula runtuh.
“Kau ni yang biadap sebenarnya, berapa umur kau ni ha? Aku lagi tua pada kau, hormat aku sikit!” tengking Irfan.
“Aku akan hormat orang yang pandai hormat orang lain… tapi dengan kau ni, aku rasa macam tak layak je aku nak hormat… buang masa aku!”
“Eh… kau ni kan…!” Irfan mula berdiri. Kini tubuhnya hanya beberapa jengkal sahaja dari Aliya. Pandangannya tajam memandang gadis itu. Entah kenapa hatinya berdebar-debar tatkala merenung sepasang mata bundar milik gadis di hadapannya. Ish, kenapa aku rasa macam ni? Rasa macam…suka. Syuhhh… wahai rasa ‘suka’ pergi jauh-jauh lah! Ngomel Irfan di dalam hatinya.
Aliya pula mencerlung memandang pemuda itu. Kau ingat aku takut ke? Tengok kaki ar kalau nak bergaduh dengan aku. Aku ni Aliya Marissa lah! Aku akan hormat orang kalau dia hormat pada aku. Tapi, kalau orang tu biadap… memang aku biadap jugak la! Lagi teruk aku kerjakan. Huh!
“Huh, menyampah! Layan orang yang tak tahu berterima kasih ni, memang menyakitkan hati… tepilah, aku nak keluar… makanan tu, makan… kalau aku tengok ada sisa walaupun sikit, siap kau! Aku tak suka orang tinggal sisa makanan. Faham?” Aliya melangkah keluar dari bilik itu dengan perasaan yang sebal.
Irfan terus memandang makanan di meja kayu itu. Perutnya yang berbunyi sejak dari tadi dipegang. Dari semalam aku tak makan. Laparnya! Dia segera melahap makanan di hadapan. Yummy, sedap siot…
Wajah tu dah gred A, tapi perangai macam hantu. Tengok TV lagi bagus. Ngomel Aliya sendirian sambil menghenyakkan punggungnya di atas kusyen berhadapan dengan TV. Punat on pada remote ditekan sambil mulutnya terkumat-kamit membebelkan mamat itu. Remote ditekan-tekan. Mencari siaran yang berkenan di hati.
Tiba-tiba dia menghentikan perbuatannya. Matanya membulat apabila memadang skrin TV. Hah! Dia memandang skrin TV dan bilik yang dihuni pemuda itu silih berganti. Betullah! Memang sama. Entah-entah… Aliya menekup mulutnya… dia ni pelakon ke?

------------

Aliya mencuri memandang wajah pemuda dihadapannya tanpa berkelip. Uish, tak sangka! Ada pelakon dalam rumah aku! Patutlah berlagak semacam ja. Arghh… nak mintak autograph tapi… tapi aku dah marah dia tadi. Hukhukhuk…disini menyesal pulak.
“Aliya, kenapa tak makan… dah sejuk dah nasi tu…” tegur Haji Mahfuz apabila melihat anaknya memandang pemuda itu tak berkelip. Nak kena budak ni… tak jaga mata betul!
“Aliya makan la ni walid…” jawab Aliya seraya menyuap nasi ke dalam mulutnya. Sengihan kambing dihadiahkan kepada Haji Mahfuz.
“Terima kasih pakcik sebab sudi tolong carikan mekanik…” sopan Izz berkata. Dia menyiku Irfan yang sedang kusyuk menikmati makanan. Wei, kau ni tak ada adab ke hah?
Irfan tersedak. Dia memandang Izz yang sedang memandangnya tajam.
“Dan terima kasih pakcik sebab tak hebohkan pasal saya, kalau tak susah jugak nak handle…” Irfan berkata lembut. Senyuman manis terukir di bibirnya.
Aliya mencebik. Ceh, memang dasar pelakon betul, depan walid aku pandai pulak kau cakap sopan, depan aku? Biadap nak mampus.
“Tolong menolong memang patut menjadi amalan kita. Pakcik tolong apa yang termampu je…” Haji Mahfuz berkata lembut.
“Kami berdua takkan lupakan jasa pakcik sebab bersusah payah tolong kami…” Irfan berkata lagi. Izz memandang Irfan tanpa berkelip, tak percaya dengan apa yang terpacul keluar dari mulut lelaki itu. Reti jugak kau ni bersopan rupanya.
“Itu tugas pakcik… anak makanlah nasi tu, maaflah sebab lauk biasa-biasa saja…” ujar Haji Mahfuz merendah diri.
“Tak apa pakcik… ini pun dah cukup…” ujar Izz pula. Bibirnya mengukir senyuman manis.
“Bila nak balik?” soal Aliya spontan. Matanya memandang tajam wajah pemuda yang tengah melahap tak ingat  dunia tu!
“Aliya Marissa!” marah Haji Mahfuz.
Aliya menundukkan mukanya. “Maaf…” katanya sepatah.
Irfan tersenyum sinis… padan muka kau! Mulut macam puaka. Hambik! Kan dah kena marah. Haha… puas hati aku.
Aliya menggigit bibir apabila terpandang senyuman sinis menghiasi wajah makhluk di hadapannya. Dia ni memang nak makan pinggan aku ke? Meluatnya! Daripada minat kau, terus reject! Hampeh… perangai tak semenggah. Muka suci la konon depan orang lain. Geramnya aku! Hipokrit betul.
“Pakcik mintak maaf bagi pihak anak pakcik ya?” Haji Mahfuz menghadiahkan jelingan tajam kepada Aliya.
“Tak apa pakcik… Insya-Allah, lepas solat Zohor kami baliklah…” Izz menjawab bagi soalan Aliya sebentar tadi.
Aliya memandang pemuda yang berada di sebelah mamat tak guna itu. Dia ni lebih bersopan dan sangat kacak orangnya. Macam ni la calon suami yang aku idam-idamkan… Hikhikhik…
“Berapa umur anak pakcik ni…” dengan selambanya Irfan menyoal.
Aliya tersedak.
Izz memandang Irfan. Hai, jarang-jarang kau tanya pasal gadis, tengok anak pak imam ni terus kau terpikat ke?
“Umur anak pakcik ni 22 tahun… belajar di Universiti Malaysia Terengganu… sekarang ni dia cuti…” jawab Haji Mahfuz.
“Oh…” Irfan tersenyum nipis. Muda lagi… tapi perangai, gila!




Thursday 22 November 2012

Betul! Suami Aku Pelakon - Bab 1



Irfan Danish mengelilingi kereta Hyundai Tucson berwarna putih sambil bercekak pinggang. iPhone masih di dalam tangannya dipandang geram. Nama aje handphone mahal, tapi bila line tak ada, tarafnya sama jugak dengan handphone murah. Dengusan kuat kedengaran. Tekanan perasaan sungguh!
Izz Raiyan… pembantu peribadi Irfan Danish atau PA (Personal Assistant) dan juga merangkap kawan baik Irfan Danish sejak dari kecil lagi, berpeluh-peluh memandang enjin kereta itu. Sejujurnya dia hanya mampu memandang, nak sentuh, tak berani, nanti lagi teruk kereta ini dikerjakannya. Umpama tikus membaiki labu. Matahari mula melabuhkan tirainya.  Sudah hampir masuk waktu Maghrib. Aduh, masak macam ni? Takkan nak duduk dalam kereta malam ni?
“Wei, tak okey lagi ke enjin kereta tu… aku dah serabut ni… dah lah sesat, kereta rosak pulak! Line pun tak ada. Kenapalah diaorang buat tempat shooting dekat tempat macam ni? Dah macam padang jarak padang terkukur! Sekarang kan dah susah… nak balik pun tak boleh ni? Aku dah la ada shooting kat tempat lain pulak ni! Arghhh! Rosaklah nama aku kalau aku datang lambat…” bebel Irfan senafas sambil mengelilingi kereta. Iphone masih di tangannya.
Fuh! Dahsyat mamat ni… senafas dia boleh bertutur ayat sepanjang tu. Gumam Izz Raiyan seorang diri.
“Kau jangan nak menipu lah! Padang jarak padang terkukur apa, tu ha ada cahaya… maknanya ada la rumah dekat sini dan kau sabar boleh tak? Kau ingat aku ni mekanik ke hah? Kalau aku mekanik, tak hingin aku nak jadi PA kau tau… lebih baik aku bukak bengkel aku sendiri!” bidas Izz. Mamat ni kalau start membebel. Memang champion!
Irfan mengunci langkahnya seraya menyimpan iPhone di dalam poketnya. Wajah Izz direnung tajam.
“Malam ni nak tidur mana? Takkan nak tidur dalam kereta!” leter Irfan lagi. Butang lengan baju kemeja berwarna biru lembut itu dibuka, segera disinsing hingga paras siku.
“Nasiblah… nampaknya kita kena tidur dalam kereta malam ni. Ha, apa kata kita pergi rumah orang dekat sini atau masjid ke?” cadang Izz. Bonet hadapan ditutup. Dia membalas pandangan Irfan.
“Kau gila! Nanti orang nampak aku macam mana…kalau nak pergi rumah orang, aku tak nak! Lagipun, kau ada nampak masjid ke kat sini? Aku nampak sawah padi je…” Irfan meliar memandang sekeliling. Rambutnya diraup ke ke belakang.
“Memanglah tak nampak, dah malam…. Tapi kalau ada rumah, mesti ada masjid. Kejap lagi masuk la waktu Maghrib... habis kau tu tak nak solat ke?” Izz bersandar pada kereta sambil memeluk tubuhnya. Payah betul berunding dengan mamat berlagak ni. Hish!
“Aku nak solat tapi kalau orang nampak aku macam mana? Lagipun, masjid pun aku…” kata-kata Irfan terhenti apabila mendengar sayup-sayup azan berkumandang.
Mereka berdua diam sebagai menghormati azan yang kedengaran sedap sekali pada halwa telinga mereka..
“Tu, dah azan… aku rasa masjid dekat-dekat sini je… kita pergi cari lah…” bisik Izz setelah selesai membaca doa selepas mendengar azan.
“Kau pergilah cari, dah jumpa bagitahu aku… aku tunggu dalam kereta…” arah Irfan, Pintu kereta dibuka lalu dia memboloskan diri ke dalamnya.
Izz menggeleng kepala. Pemalas!
“Hati-hati…  ni tempat orang, jangan cakap bukan-bukan…” pesan Izz sebelum dia melangkah pergi meninggalkan Irfan. Izz tersenyum sinis bila melihat riak wajah Irfan berubah.
“Jangan nak takutkan aku lah! Aku tak takut langsung…”jerit Irfan bercakap besar.
Irfan mendengus kuat. Dia berbaring di bahagian tempat duduk belakang sambil bermain game Angry Bird. Hampir setengah jam juga dia berbaring… kemudian dia duduk pula. Cermin tingkap kereta diturunkan sedikit. Panas ya amat! Namun matanya masih melekat pada skrin iPhone. Ish… apasal susah pulak ni!
“Arghh, kalah!” bentak Irfan seorang diri. Jam direnung pada skrin iPhone lalu diletakkan di sebelahnya. Dah pukul 8:20 malam… dari Maghrib sampai nak Isyak dan, mana mamat ni! Irfan memandang ke arah tingkap. Serta-merta mukanya menjadi pucat!


“Ni kalau walid tau aku tak berjemaah di masjid waktu Maghrib tadi, habislah aku… so, aku harus tiba di masjid sebelum walid perasan yang aku tak ada… nasiblah aku dah solat Maghrib dekat rumah tadi…” Aliya Marissa membebel seorang diri. Telekung yang dipakainya diperbetulkan. Lampu suluh dinyalakan. Tangan kanan mengangkat kain baju kurung sehingga paras lutut lantas langkah dipanjangkan. Kalau bakal mak mertua tengok aku angkat kain macam ni, sah-sah tak buat aku jadi menantu. Direject, diblack list tanpa secebis pun rasa kasihan, tanpa aku sempat menonjolkan keayuan  dan kesopanan aku. Menangis belakang pintulah jawabnya! Hahaha…
Aliya berjalan seperti lipas kudung. Dia hampir-hampir tersungkur apabila terpijak batu besar.
“Fuh, nasib baik tak jatuh…” Aliya mengurut dadanya. Pandangan terkunci tatkala memandang hadapan.  Langkahnya diperlahankan. Lampu suluh dihalakan pada kereta di hadapannya. Kereta siapa tu? Hatinya terdetik untuk menapak menghampiri kereta. Aliya memegang cermin tingkap yang diturunkan sedikit.
Glurp!
Irfan sudah berpeluh-peluh. Dadanya berombak kuat. Air liur ditelan berat. Apa tu? Benda putih tu kenapa datang dekat aku!
“Astaghfirullahalazim… lailahaillAllah… bismillahirrahmanirrahim…” Irfan memejamkan matanya seraya mengesot menghampiri pintu kereta di sudut yang bertentangan. Hantu ke tu? Argh!
Aliya tergelak kuat!
Irfan menggigil apabila tawa menampar halwa telinganya. Dia menolak daun pintu kereta dengan kasar lantas berlari sekuat mungkin. Dah tak nampak tanah dah.  Selamatkan diri, itu fokusnya sekarang!
Aliya menutup mulut, alahai, tergelak mengilai pulak!
“Jangan ganggu aku!” jerit Irfan sekuat hati sambil berlari laju. Jantungnya sudah berdegut kencang. Tu lah kau, tadi cakap besar… sekarang apasal kau lari ni… kenapa tak say hai hai dekat makhluk tu… huh! Marah Irfan pada dirinya sendiri.
Eh, mamat ni apasal? Bila masa aku ganggu dia. Aku jengok je kan? Tunggu apa lagi. Kita kejar! Jerit hati Aliya. Dia pantas berlari mengejar mamat yang tidak dikenalinya itu.
Irfan mencuri memandang belakang. Matanya membulat. Dia ikut aku! Makhluk ni ikut aku! Argh… Tuhan tolong jauhkan makhluk itu dari aku.
Oleh kerana terlalu kuat berlari, Irfan akhirnya tersadung kakinya sendiri. Dia jatuh tersembam. Mak aih! Sakitnya…
Haaa, padan muka. Siapa suruh larikan diri dari aku! Aku tengah berjiwa baik ni nak tegur dia, boleh pulak buat hampeh dengan aku.
“Encik… okey… ke tak ni? Yang… encik lari… ni… kenapa?” soal Aliya tercungap-cungap.
Mata Irfan membulat, dia bingkas bangun. Air liur ditelan berat sebelum dia menoleh ke belakang. Perlahan-lahan dia menoleh.
“Arghhhhh!!” jerit Irfan kuat lantas rebah di atas jalan.
Aliya panik. Weh, kenapa dia pengsan ni? Muka aku menyeramkan ke?  Setahu aku muka aku ni dan cun habis! Anak pak imam, wanita idaman setiap jejaka di dalam kampung ni. Boleh pulak pengsan bila tengok aku. Aliya menggaru kepalanya. TERperasan lah pulak. Hehehe…
 Lah, patutlah… yang aku suluhkan muka aku ni kenapa? Memang haruslah dia pengsan. Aliya memukul kepalanya dengan menggunakan lampu suluh. Dia takutkan aku rupanya. Dia ingat aku hantu ke? Hish… dia tak perasan ke yang aku ni ayu… Ahaks, perasan…
“Apa aku nak buat ni?” Aliya memandang sekeliling. Gelap, tak ada orang lalu pulak. Ish! Dia mendekatkan dirinya menghampiri mamat itu. Dia menghalakan lampu suluh pada wajah pemuda itu.
Erkkk!!!
“Macam pernah aku tengok je mamat ni?” Aliya berkata sendirian. Muka pemuda itu disuluh.
Aliya tiba-tiba mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan. Pantas dia memandang hadapan. Matanya terbeliak! Walid! Argh!
Izz berlari mendapatkan Irfan yang sudah pengsan terbaring di atas jalan tar. Pipinya ditampar kuat oleh Izz. Apasal kau pengsan ni?!
“Aliya... macam mana kamu boleh ada di sini… kenapa tak pergi berjemaah di masjid?” soal Haji Mahfuz sambil mencerlung tajam memandang Aliya.
Glurp!
“Walid… tadi Aliya memang nak solat dekat masjid, tapi tadi nampak kereta tu…” Aliya menghalakan jarinya ke arah kereta yang berada tak jauh dari situ, “Aliya tengok la, kut-kut la ada orang sakit ke… tapi tiba-tiba mamat ni mencicit lari macam nampak hantu je… lepas tu boleh pulak pengsan…” sambung Aliya lagi.
Alasan tak diterima! Haji Mahfuz masih mengekalkan renungan tajam kepada Aliya. Aliya menelan berat air liurnya. Habislah!
“Encik Izz, apa kata pergi ke rumah pakcik dulu… esok pagi pakcik akan tolong carikan mekanik untuk tengokkan kereta Encik…” cadang Haji Mahfuz.
“Baiklah pakcik… terima kasih…” Izz berbahasa. Wahai pakcik… rumah pakcik jauh tak? Boleh kurus saya kalau rumah pakcik ni jauh… nak angkat mamat ni lagi. Ngomel Izz sendirian.
“Mari pakcik tolong pimpin kawan kamu ni…”
Fuh, lega… terima kasih pakcik sebab sudi membantu saya.
Mereka memimpin Irfan dan terus menuju ke rumah Haji Mahfuz yang yang berada di hujung jalan. Aliya pula hanya mengekori dari belakang. Otaknya ligat berfikir. Wajah mamat tu, aku macam kenal je… tapi aku tengok dekat mana eh?

Monday 22 October 2012

White?

Assalamualaikum...

Kenapa background blog saya berwarna putih?
Sebab putih itu suci... nampak bersih. hehehe... dan mana ada warna putih jer, warna merah and hitam pun ada kan?
Lagi satu, senang orang nak baca... (eh, ade ker orang nak baca ni? aiseymennn....)


P/S : saya memang suka warna Hitam, Merah dan Putih.... nampak class uolsss....

New Blog

Assalamualaikum...

Setelah lama menyendiri, blog lama pun sudah saya lupa passwordnya, (sayang betul dengan blog tu, follower pun dah ramai....haish), dan ini adalah blog baru sayaaaaa!  *takada orang tepuk? oh oh, nevermind.... *sedih, sadis giler! sobs sobs

Entry baru akan saya post... just wait dan see... (tengah menulis manuskrip kedua... muehehe)
Saya suka siapkan semua manuskrip sebelum post apa-apa... sebab, saja suka tukar-tukar, tambah-tambah ayat... last-last minute... hehe

*Tujuan tulis entry ni sebab nak edit tulisan... kalau tak post... susah nak edit sebab tak tau tulisan apa yang bertukar... boleh tak guna alasan tu? ahaks!