Lenguh kepalaku. Sejak dari tadi,
aku asyik memandang ke kiri dan ke kanan tanpa henti dalam tempoh 10 minit, menanti
batang hidung ‘dia’. Tapi tak muncul-muncul. Argh! Panas pulak hati aku ni. Aku
kembali berjalan ke dalam bus stop
yang sedang dalam proses nak runtuh dengan sendirinya. Dengan berhati-hati aku
meletakkan tangan di atas kerusi kayu dan aku tekan dengan sekuat hati. Mana
lah nak tahu kan, runtuh pulak kerusi ini. Setelah aku yakin bahawa kerusi ini
masih kuat dan utuh… aku duduk. Bilalah diorang
ni nak buat bus stop yang gorgeous sikit? Bebelku sendirian.
Nafas ditarik dengan
sedalam-dalamnya. Tudung bawal yang sudah sedia senget makin senget jadinya
apabila aku mula menggaru kepala. Jam dikerling. Mata mula membulat, “Ehhhh!”
itu sahaja bunyi yang mampu keluar dari mulut aku. Aku bingkas bangun dan
kembali menapak menghampiri bahu jalan. Tak datang lagi! Hish… aku bakar jugak
bas ni.
Peluh yang merenek di dahi ku seka
dengan lengan baju t-shirt. Dada berombak-ombak menahan marah. “Okey Amni,
relaks… nama kau maksudnya ketenangan, so kau kena bertenang…” aku mengurut
dada berkali-kali.
Telefon bimbit dikeluarkan dari
poket. Tatkala membaca mesej yang baru diterima, mulutku mula terkumat kamit
menyumpah seranah. “Ni semua pasal kau! Kalau kau datang ambik aku kat sini…
tak lah aku tercongok macam batang pisang di bus stop ni!” aku membebel laju seiringan dengan tanganku yang
ligat menaip mesej.
Pom!
“Oh bus stop runtuh…pom pom pom!” aku mula melatah. Terkejut yang
teramat sangat. Mujur telefon bimbit aku tak terlepas dari tangan. Kereta BMW
yang berhenti di hadapan bus stop
direnung. Seorang lelaki keluar dari perut kereta, lengkap berkot… wajahnya,
separa bengis! Sebab aku cakap begitu kerana… dia kacak… marah macam mana pun,
kekacakannya tetap tak boleh nak disembunyikan, dan kekacakannya itulah menutup
kebengisan wajahnya. Ewah…
Mataku memerhati gelagat lelaki
itu… dia berdiri di sisi kereta di bahagian penumpang di sebelah pemandu. Tayar
direnung. Oh! Pancit! Aku mula ketawa geli hati. Haa… gasak lah kau, pakai kot
bagai, tengah-tengah panas terik ni… berpeluh la kau tukar mende alah tu. Kikiki…
Tiba-tiba dia menjeling kearahku!
Terbantut ketawaku. Terkebil-kebil aku memandangnya. Isk… dia dengar ke aku
ketawa tadi. Kuat sangat ke?
Aku menarik nafas lega apabila dia
kembali merenung tayar keretanya. Dia kulihat kembali menapak ke tempat duduk
pemandu.
Pang!
Tangannya menampar kuat bahagian
atas kereta? Dia ni kenapa? Kena sawan sebab tayar kereta pancitkah?
Lima minit juga dia mengamuk
kemudian dia datang menghampiriku dan duduk dengan jarak sedepa di sebelahku.
Dengan tak semena-mena dia bersuara.
“Eh, ada duit syiling tak?” soalnya
sambil memandang telefon awam yang berada berdekatan dengan kami.
Aku tersentak. Kepala menoleh
memandangnya, ewah, dia eh eh kan aku? Amni, tenang… aku mengukir senyuman dan dengan
perlahan-lahan aku menjawab, “Err… ada… kenapa ye?” wah! Sungguh sopan suaraku.
Mujurlah suara tarzan tidak keluar.
Dia bangun dan duduk betul-betul di
sebelahku. “Pinjam kejap…”
Aku mengeluarkan duit syiling lima
puluh sen sebanyak dua keping lantas ku berikan kepadanya. Duit syiling kini
bertukar tangan.
Tanpa mengucapkan terima kasih dia
terus melangkah menghampiri telefon awam. Aku hanya memerhatikan gelagatnya.
Dia sudah berada di hadapan telefon awam namun wajahnya seperti sedang menahan
marah. Dia kembali menghampiri aku dan duit syiling dihulurkan. “Nah, telefon
rosak… handphone ada?”
Aku mengangguk.
“Pinjam boleh?” soalnya senada. Aku
mula naik menyampah dengan perangai lelaki ini. Nak pinjam barang orang tapi
tak tau nak cakap elok-elok. Apa punya perangailah. Perangai tak seiring dengan
penampilan.
“Boleh… tapi… kejap, nak check
baki…” aku pantas menekan butang untuk menyemak baki. Semasa aku sedang menyemak
baki, aku terdengar dia mendengus. Apahal la mamat ni… bebel aku di dalam hati.
Mataku hanya merenung telefon bimbit yang berada di tangan. Isk! 0.05 sen? Aduh!
“Encik… baki kredit saya tinggal
0.05 sen je… nak buat SOS topap dah tak boleh sebab semalam baru aje saya
buat…bukan saya kedekut encik, tapi memang takde rezeki encik harini…saya tak
dapat tolong…” terang aku panjang lebar dengan lemah lembut dan sopan.
“Miskin betullah!” marahnya
tiba-tiba.
Aku menyepetkan mata. Dia ni… apa
hak dia nak cakap aku ni miskin? Nak dibandingkan aku dengan dia sekarang, dia
lagi miskin, ‘miskin’ adab. Perangai buruk. Aku keluar suara tarzan karang!
“Eh, sesuka hati je cakap orang
miskin!” Aku dah hilang sabar.
“Memang!” dia taknak mengalah. Aku
mula nak singsing lengan baju. Rasa macam nak berperang.
“Apasal biadap sangat?”
“Suka hati akulah!”
Aku mengetap bibir. Baru saja aku
nak berdebat, kelibat bas rapid aku pandang… huh! Kau patut bersyukur dan
berterima kasih pada bas itu… nasib kau memang baik! Malas nak melayan, baik
aku blah je dari sini. Aku berdiri dan menapak
di tebing jalan. Kini bas betul-betul berhenti dihadapanku.
Entah kenapa lelaki itu mengekoriku
dan berdiri betul-betul di sebelahku. Aku hanya menjeling, malas nak ambil tahu lagi. Aku terus mendaki tangga bas,
memberitahu destinasiku kepada pemandu dan aku terus membayar. Tanpa membuang
masa, aku duduk di kerusi yang berada di bahagian belakang. Seperti selalu, aku
akan memilih untuk duduk di tepi tingkap. Pandangan kuhalakan ke luar tingkap.
Lama juga bas ini berhenti. Aku mula
hairan dan kembali memandang ke hadapan. Beberapa orang di dalam bas mula
mengomel sendirian. Entah kenapa aku bangun dan berjalan mendekati lelaki itu.
“Kenapa ni pakcik?” soal aku
lembut.
“Dia takde duit kecik… seratus ha
dia ada… nak ke stesen bas Butterworth, 2 ringgit je…” terang pemandu bas itu.
Tanpa membuang masa aku yang sudah
sedia terbuang ni… aku menyeluk poket lantas dua keping duit seringgit aku
berikan kepada pakcik itu. Tanpa memandang wajah lelaki di sebelah aku, aku
kembali duduk.
Earphone
aku letakkan di telinga dan aku lantas kepala aku lentokkan di tingkap. Lagu Kita
nyanyian Fourteen menjadi pilihan. Mata aku pejam, menghayati lirik.
Manakah kita
jika kau dan aku tidak sekata
Sepi walaupun
bila bersama
Dekatkan pun
tetapi berjauh hati
Manakah kita
bila sering bertentangan
sahaja walaupun
bibir cuba menyepi
Hakikat percaya
tanya dengan jujur
Manakah kita
Terasa bahuku dicuit.
“Ada kaboi (kumbang) masuk dalam
baju!” jerit aku dengan sekuat hati! MasyaAllah! Kuatnya aku menjerit. Aku
menekup mulut dan memandang hadapan, semua orang sedang merenung aku sambil tersengih
dan ketawa. Memang aku tak dengar ketawa mereka kerana aku sedang memakai earphone, tetapi dari mimik wajah, aku
dah tahu! Aku kemudiannya menoleh ke kiri, untuk mencari siapa yang mencuitku. Membulat mataku apabila lelaki tadi duduk di
sisiku dan tersenyum manis ke arahku. Senyumannya membuatku terkaku. Mak aih…
manis lemak berkrim! Tapi kenapa dia senyum pada aku? Tadi bukan main kurang
ajar lagi…
Dia berkata sesuatu namun aku tidak
dapat mendengar kata-katanya. Earphone
segera ditanggalkan. Aku garu kepala. Dia masih dengan senyumannya. Aduh… dah
bersimenkah senyuman itu? Adakah dia mengejek aku? Malunya!
“Sorry tak dengar tadi… encik cakap apa ye?” soalku sambil merenung
rambutnya. Nak tenung mata tak berani, nak tenung baju nanti dia kata aku gila
pulak. Tenung rambutnya yang cacak ajelah.
“Terima kasih…” ujar lagi itu
lantas dia tertawa halus.
“Kenapa awak gelak?” aku mula nak
panas hati. Dia gelak sebab aku melatah tadi ke? Arghh! Mencikk!
“Mata awak… bulat sangat. Lepas tu,
tenung rambut saya kenapa?” soal lelaki itu sambil memeluk tubuh lalu
menyandarkan badannya.
“Yelah tu… gelak sebab saya melatah
kan?” soalan tentang rambut aku abaikan.
Makin kuat ketawa yang dihamburkan
olehnya. Aku yakin, wajahku sekarang sudah merah menahan marah dan malu.
“Taklah… by the way… nama saya Khalish… awak?”
“Amni…” jawabku sepatah. Dia masih
merenung aku. Lahai… kenapa dengan dia? Wajah aku comot ke? Huhu…
“Saya nak mintak maaf pasal tadi.
Saya kata awak… mis… miskin…” tutur Khalish tersekat sekat.
Hatiku mula sejuk apabila dia
meminta maaf.
“Tadi kenapa awak macam stress sangat?” soalku ingin tahu.
“Saya on the way ke ofis, ada meeting
penting. Tayar kereta pancit pulak… saya dah matikan enjin kereta, tapi saya
tertinggal kunci di dalam. Bila saya keluar untuk lihat tayar, kereta autolock. Handphone dan dompet saya ada dalam kereta. Mujur di dalam kot saya
ada seratus ringgit…tapi…tak guna pun duit ni. Terima kasih sebab bayarkan
untuk saya…”
Aku tersenyum nipis. “Sama-sama. Haa,
tu la… jangan sesuka hati cakap orang miskin… kadang-kadang keadaan memaksa,
dan menyebabkan kita kelihatan ‘miskin’. Konsep ‘miskin’ yang saya cakap bukan
dari segi harta saja… saya nak kasi contoh tapi awak jangan marah pulak… ye?”
Dia mengangguk.
“Tadi awak miskin tau dan saya pun
miskin,.. keadaan memaksa kita.” Dia mengangkat kening. Tidak mengerti
maksudku.
“Kita ‘miskin’ kesabaran, tapi awak tambah lagi satu,
‘miskin’ adab… dan tahap kesabaran yang taklah setinggi mana itulah yang
menyebabkan masing mengeluarkan suara tarzan…” jawapan aku mengundang ketawa
Khalish.
“Betul, saya tak beradab dan kurang
kesabaran tadi. Saya mintak tolong awak dengan bahasa yang kasar. Saya mintak
maaf dan awak pun mengaku jugak ye yang awak kurang sabar…” ujarnya dengan tawa
yang masih bersisa.
“Yup, saya mengaku… kita kurang
sabar tadi. Awak dengan masalah awak dan saya tadi dah panas hati sebab bas
datang lambat, sepatutnya kawan saya datang ambik, tapi dia ada hal… geram
sungguh tadi… tu tandanya saya ‘miskin’ kesabaran…” Aku tersengih. “dan semua
dalam bas ni… awak rasa ‘kaya’ ke ‘miskin’?” Khalish menggeleng kepalanya.
“Kaya…” jawapan aku menimbulkan
riak tanda tanya di wajah Khalish. “Awak tengok pakcik yang memandu bas ni...”
ujarku seraya menghalakan jari telunjuk ke arah pemandu bas. Khalish memandang
arah yang ditunjuk oleh aku. “Dia ‘kaya’ dengan kesabaran, buktinya saya
selalu naik bas dan kebanyakkan dia yang
memandu. Dia… pernah kena marah dengan penumpang, sebab memandu perlahan. Tapi
saya tengok dia senyum dan mintak maaf pada penumpang tu… dia cakap, dia
mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain… penumpang
itu mendengus marah. Terus tekan loceng nak turun bas…”
Khalish tekun mendengar cerita aku.
Aku tersenyum lagi. “Dan awak tengok pakcik yang sedang menyuap anaknya makan
roti tu… apa yang awak nampak bila tengok mereka?” aku menjuihkan bibir ke arah
seorang lelaki dan anaknya yang berpakaian lusuh.
“Mereka ‘kaya’ kasih sayang… tak
segan menunjukkan kasih sayang di khalayak ramai…” jawapan Khalish diiringi
dengan anggukan dari aku.
“Betul… dan awak tengok makcik tu…”
aku menghalakan jariku ke kanan pula. Kelihatan seorang makcik sedang duduk
kaku di atas kerusi, matanya hanya membuang pandang ke luar tingkap. “Awak
dapat agak tak dia ‘kaya’ ke ‘miskin’? Saya tak dapat nak agak…” sambungku
lagi.
Khalish tekun merenung makcik itu…
beberapa tika kemudian dia tersenyum, “Kaya…” jawabnya sepatah.
“Sebab?” soalku hairan.
“Awak tunggu dan lihat…”
Beberapa tika kemudian makcik itu
bangun untuk menekan loceng, Beg plastik yang berada disisinya dibimbit. Mak
aihh! Banyaknya.
“Dia ‘kaya’ dengan sayur-sayuran…
mungkin baru balik dari pasar…” kata-kata Khalish menyebabkan tawa aku meledak.
Beberapa orang yang duduk
berdekatan kami memandang hairan. Serta-merta tawa kami mati.
“Kenapa awak naik bas ni? Awak tak
takut ke tinggal kereta awak macam tu je? Orang pecahkan cermin kereta macam
mana?” soal aku bertalu-talu setelah
lama kami mendiamkan diri.
“In Shaa Allah, tak… saya
bertawakal saja. Lagipun, cermin kereta saya gelap, dompet dan telefon bimbit
ada di dalam dashboard.. Nak pergi meeting
pun memang tak sempat dah. Saya naik bas ni… sebab ikut awak. Sejujurnya ini
pertama kali saya naik bas…”
“Oh! Awak ikut saya sebab awak tak
tahu ye?” aku mengukir senyuman mengusik.
Khalish menggaru kepalanya lantas
mengangguk.
“Lain kali awak kena belajar tau
naik bas… bukan bas aje, semua pengangkutan awam awak kena belajar dan biasakan
diri. Kalau keadaan darurat macam sekarang, itu boleh membantu. Orang kaya
harta macam awak… jangan ambik ringan pasal ni. Tapi saya pasti… bukan awak
sorang saja orang kaya yang tak tahu naik bas dan pengangkutan awam yang lain…
kan?”
Khalish tersengih. Aku? Aku rasa
nak pengsan melihat sengihannya. Kalau aku sengih, sure nampak macam orang utan
tapi dia… grrr… handsome, sengihannya mampu buat jantung aku berdetak tak
sekata. Adeyy… jangan cakap kau suka dia Amni… isk.
Lama kami berborak sehinggalah tiba
di destinasi yang ingin aku tuju. Aku dan semua penumpang lain turun dari bas.
“Okey dah sampai… saya kena naik bas lagi satu… baru dapat ke Jusco… awak nak
ke mana?”
Dia merenung jam tangannya. Satu
keluhan kecil dilepaskan. Dia merenung lembut wajahku. “Saya… tak tahu.”
Riak wajah hairan aku tayangkan.
“Ait? Kenapa pulak?”
“Ofis saya dah terlepas…”
“Haa! Lah… tadi kenapa awak tak
turun di situ?”
“Entahlah saya tak tahu…” matanya
redup memandang aku. Kenapa ni?
Aku garu kepala. Kemudian aku
terpandang kelibat bas rapid bernombor 702 di sudut kanan aku. Aku sudah kelam
kabut. Bas tolong jangan tinggalkan aku! Dengan pantas aku menyeluk poket dan
beberapa keping duit syiling dan sekeping wang kertas sepuluh ringgit aku
berikan kepadanya. “Nah, awak ambik ni, awak call siapa-siapa… kat sini banyak
telefon awam… saya kena pergi. Bas tu dah nak bergerak…” ujarku sambil
memandang wajah Khalish dan bas silih berganti.
“Er…” belum sempai dia
menghabiskan ayatnya aku sudah melangkah pergi. “Saya pergi dulu!” jeritku
sambil melambai ke arahnya. Lambaian dibalas. Tanpa membuang masa aku terus
memboloskan diri masuk ke dalam bas. Dari tingkap aku cuba mencari kelibat
Khalish namun dia hilang. Entah kenapa hatiku berasa sayu.
Seminggu
berlalu…
Tangga bas didaki. Selesai membayar
tambang bas, mata ku meliar suasana di dalam bas. Penuh! Alamatnya akulah orang
pertama yang kena berdiri. Tu ada satu tempat kosong, tapi… di sebelah seorang
lelaki yang memakai cap… seganlah! Huhu.
Padan muka kau Amni, gedik sangat nak naik bas sedangkan kau tahu ini hari
Ahad, lain kali… tumpang kawan aje kan senang? Bebelku sendiri di dalam hati.
Aku berjalan dengan berhati-hati dan tiba-tiba
bas berjalan. Hampir sahaja aku tersungkur. Lelaki tadi membantu aku.
“Miss are you okay?”
Aku yang sedang menunduk
membetulkan baju memanggungkan kepala. Mataku membulat!
“Khalish…” sebutku perlahan. Dia
tersenyum! Aku rindu betul dengan senyumannya. Wargh! Ada jodoh ni… hehe
“Duduklah…” ujarnya seraya memberi
laluan kepada aku agak mengambil tempat di sisi tingkap.
Setelah duduk, aku buat riak muka
teruja. “Awak naik bas…” ujarku bersama
senyuman.
“Iye… dah seminggu. Saya cari
awak.” jawapannya membuatkan senyumanku bertukar hairan.
“Kenapa?”
“Saya teringatkan awak. Hari tu tak
sempat saya nak mintak nombor telefon bimbit, awak dah pergi. Balik rumah tak
tidur lena saya dibuatnya… saya cari awak dekat bus stop tapi, awak takde, 3 hari saya tunggu awak. Lepas tu saya
mula nak putus asa, tapi bila teringatkan pesan awak suruh saya belajar naik
pengangkutan awam, jadi saya naik bas. Sendiri, dan harini kesabaran saya
membuahkan hasil. Awak dah muncul… dan saya pun dah terer (pandai) naik bas sendiri.” Mukaku mula merah menahan malu. “Awak
ke mana seminggu ni?” sambungnya lagi apabila aku hanya mendiamkan diri.
“Saya ke rumah kakak saya, di
Kedah… saya mintak ma… maaf…” balasku tersekat-sekat. Tak mampu nak bertutur
dengan lancar apabila direnung sebegitu.
“Takpe, yang penting saya dah jumpa
awak dan saya pasti takkan lepaskan awak kali ni…” terkebil-kebil aku memandang
bibirnya yang tersenyum manis. Argh! Gua mahu pengsan!
Lama aku mendiamkan diri, menghadam
kata-katanya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum aku kembali mula berbicara.
“Saya nak tanya patut ke saya senyum atau malu bila dengar awak cakap macam
tu?”
Dia menjongketkan bahunya tanda
tidak tahu. Sebelah mata dikenyitkan ke arahku.
Aku garu kepala lalu bukan senyuman
yang aku tonjolkan tetapi aku buat muka malu-malu dan hujung beg sandang aku
pintal sehingga kebas habis tangan aku!
Inilah kisah aku, dia dan bas.
Ohoii.. kalau dah jodoh tak kemana, dalam bas pun aku dapat bertemu dengan
jodohku. Disini kami berkenalan, dan disini hati masing-masing mula dijentik
dengan rasa cinta… dan beberapa bulan
selepas itu, kami… kahwinlah!
Alhamdulillah.
-TAMAT-